Akta Relief Spesifik 1950
BAB VIII: PENGUATKUASAAN TUGAS AWAM
Kuasa untuk memerintahkan pekhidmat awam dan lain-lain untuk melakukan perbuatan spesifik yang tertentu
Seksyen 44. (1) Seseorang Hakim boleh membuat suatu perintah yang menghendaki mana-mana perbuatan spesifik dilakukan atau tidak dilakukan, oleh mana-mana orang yang memegang jawatan awam, sama ada yang bersifat kekal atau sementara, atau oleh mana-mana perbadanan atau mana-mana mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi:
Dengan syarat bahawa—
(a) sesuatu permohonan bagi perintah sedemikian dibuat oleh seseorang yang harta, francais, atau hak dirinya akan rosak jika perbuatan spesifik tersebut tidak dilakukan atau dilakukan, mengikut mana-mana yang berkenaan;
(b) melakukan atau tidak melakukan perbuatan itu di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, dengan jelas terletak pada orang atau mahkamah itu atas sifatnya atau sifat awamnya atau pada perbadanan itu atas sifat perbadanannya;
(c) pada pendapat Hakim itu melakukan atau tidak melakukan perbuatan itu adalah selaras dengan hak dan keadilan;
(d) pemohon tidak mempunyai remedi undang-undang lain yang spesifik dan mencukupi; dan
(e) remedi yang diberi oleh perintah yang dipohonkan akan mencukupi.
(2) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai membenarkan seseorang Hakim
(a) untuk membuat apa-apa perintah yang mengikat Yang di-Pertuan Agong;
(b) untuk membuat apa-apa perintah ke atas mana-mana pekhidmat mana-mana Kerajaan di Malaysia, oleh yang demikian semata-mata untuk menguatkuasakan penyelesaian sesuatu tuntutan terhadap Kerajaan itu; atau
(c) untuk membuat apa-apa perintah yang dikecualikan dengan nyata selainnya oleh mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Bagaimana permohonan dibuat dan tatacara
45. Tiap-tiap permohonan di bawah seksyen 44 mesti berasaskan suatu afidavit orang tercedera, yang menyatakan haknya dalam perkara yang dipersoalkan, tuntutannya mengenai keadilan, dan penafian mengenainya; dan seseorang Hakim boleh, atas budi bicaranya, pertama-tama menjadikan perintah yang dipohon itu sebagai mutlak, atau menolaknya, atau memberikan suatu kaedah supaya ditunjukkan sebab mengapa perintah yang dipohon itu tidak patut dibuat. Jika, dalam kes yang terakhir itu, orang itu, mahkamah atau perbadanan yang diadukan itu tidak menunjukkan sebab yang mencukupi, Hakim itu boleh mulanya membuat suatu perintah secara alternatif, sama ada supaya dilakukan atau tidak dilakukan perbuatan yang disebut dalam perintah itu, atau supaya menyatakan beberapa sebab sebaliknya dan memberikan jawapan kepadanya pada mana-mana hari sebagaimana yang ditetapkan oleh Hakim bagi maksud ini.
Perintah muktamad
46. Jika orang, mahkamah atau perbadanan yang kepadanya perintah itu diarahkan tidak memberikan jawapan, atau memberikan jawapan yang tidak mencukupi atau jawapan palsu, Hakim boleh mengeluarkan suatu perintah muktamad supaya dilakukan atau tidak dilakukan perbuatan itu sama sekali.
Pelaksanaan dan rayuan terhadap perintah
47. Tiap-tiap perintah di bawah Bab ini hendaklah dilaksanakan dan boleh dirayu terhadapnya, seolah-olah perintah suatu dekri yang dibuat dalam penjalanan bidang kuasa biasa Mahkamah Tinggi.
Kos
48. Kos bagi semua permohonan dan perintah di bawah Bab ini hendaklah terletak atas budi bicara Hakim.
Halangan untuk mengeluarkan mandamus
49. Tiada Mahkamah Tinggi atau mana-mana mahkamah lain di Malaysia, boleh kemudian daripada ini, mengeluarkan apa-apa writ mandamus.